Pages

Sila Klick

Sunday, April 22, 2012

THE BEAUTIFUL JOURNEY TO BAITULLAH AL HARAM # Part 3

PADA keseluruhannya Kaabah adalah suatu binaan mulia yang penuh dengan keberkatan. Al Tabrani meriwayatkan di dalam al-Mu`jam al-Kabir daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menyatakan: “Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Kaabah, setiap hari 60 untuk orang yang melakukan tawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 untuk orang yang memandangnya.”

Bagaimanapun, ada beberapa bahagian Kaabah yang menjadi tumpuan dan perhatian lantaran kelebihannya.

Hajarul Aswad
Hajarul Aswad adalah sepotong batu yang berasal dari syurga. Warna asalnya adalah lebih putih daripada susu. Dikatakan ia menjadi hitam kerana luruhnya dosa manusia yang mengucupnya. Pelbagai peristiwa sejarah dilalui oleh Hajarul Aswad. Hinggalah ke hari ini yang masih tinggal daripada Hajarul Aswad adalah sebanyak lapan kepingan sebesar biji tamar yang diikat pada lilin yang dicampur kasturi di dalam lingkungan perak. Sesiapa yang ingin mengucupnya hendaklah meletakkan mukanya ke atas kepingan itu.

Rukun Yamani
Rukun Yamani adalah penjuru Kaabah yang bertepatan dengan Rukun Hajarul Aswad bagi orang yang sedang tawaf. Ia adalah salah satu daripada dua rukun yang didirikan di atas asas binaan Nabi Ibrahim. Rasulullah SAW menyentuh rukun itu ketika tawaf.

Hijr Ismail
Pada asalnya kawasan Hijr Ismail termasuk dalam binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim. Ia dikeluarkan dari Kaabah ketika binaan Quraisy. Justeru, solat di dalamnya menyamai solat di dalam Kaabah.

Multazam
Multazam adalah kawasan hadapan Kaabah di antara Hajarul Aswad dan pintu kaabah. Dikatakan Multazam adalah kawasan yang paling mustajab doa. Menurut sebahagian riwayat orang Quraisy sebelum Islam menjadikan Multazam tempat melafazkan sumpah terutama bagi menyelesaikan perbalahan di kalangan mereka.

Mizab
Mizab adalah pancuran emas yang diletakkan bagi menjadi laluan air dari bumbung Kaabah masuk ke dalam Hijr Ismail. Menurut sebahagian pendapat di bawahnya adalah di antara tempat paling mustajab berdoa.

Syazarwan
Syazarwan adalah jubin yang dibina di bahagian bawah dinding Kaabah. Tingginya lebih kurang dua kaki. Ia diletakkan untuk menandakan saiz asal Kaabah yang dikurangkan ketika binaan Quraisy berbanding binaan Nabi Ibrahim. Justeru, ia adalah sebahagian daripada Kaabah. Bertawaf di atasnya atau sebahagian anggota badan di atasnya menyebabkan tawaf tidak sah.

Kiswah
Kiswah adalah kelambu atau kain yang menutupi Kaabah. Diriwayatkan orang pertama yang meletakkan kiswah Kaabah adalah Tubba al Himyariyy As`ad Abi Karb. Kiswah Kaabah diperbuat daripada 658 kilogram sutera mentah yang ditenun. Ukurannya selepas siap ditenun adalah 658 meter persegi. Kos pembuatannya adalah 17 juta Riyal Arab Saudi. Kiswah akan diganti dengan yang baru pada pagi 9 Zulhijah (hari Wuquf) setiap tahun.

Makam Ibrahim
Makam Ibrahim adalah batu yang ada kesan dua tapak kaki Nabi Ibrahim. Batu itu sekarang ini diikat dengan perak dan diletakkan di dalam sebuah tempat yang diperbuat daripada tembaga berwarna keemasan. Menunaikan solat di sisi Makam Ibrahim adalah suatu yang mempunyai kelebihan yang besar. Allah berfirman bermaksud : “Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah sebagai tempat berhimpun bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian dari Makam Ibrahim sebagai tempat solat.” (Surah al-Baqarah, ayat 125)

Telaga Zamzam
Telaga Zamzam adalah sebuah telaga di hadapan Kaabah di kawasan di antara Hajarul Aswad dan Multazam. Ia dikatakan terbit daripada terjahan kaki Nabi Ismail. Ada riwayat yang menyatakan ia terbit hasil pukulan sayap Jibrail. Kelebihan air dari Telaga Zamzam ini dinyatakan di dalam beberapa hadis.

MAKAM IBRAHIM
Makam Ibrahim bukanlah kuburan Nabi Ibrahim sebagaimana dugaan atau pendapat sebahagian orang-orang kebanyakan. Ia adalah merupakan bangunan kecil yang terletak lebih kurang 20 hasta di sebelah timur Kaabah. Di dalam bangunan kecil ini terdapat sebiji batu dan di atas batu itulah Nabi Ibrahim berdiri di waktu baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi Ismail memberikan batu kepadanya.

Di sini kita dituntut berdoa selepas melakukan sembahyang sunat tawaf 2 rakaat. ::)Batu itu dipelihara Allah, sekarang ini sudah ditutup dengan perak. Sedangkan bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim panjangnya 27 cm, lintangnya 14 cm dan dalamnya 10 cm masih nampak dan jelas dilihat.Atas perintah Khalifah Al Mahdi Al Abbasi di sekeliling batu makam Ibrahim itu telah diikat dengan perak dan dibuat kandang besi berbentuk sangkar burung.

KISAH ASAL USUL BEKAS TAPAK KAKI NABI IBRAHIM A.S (MAQAM)
Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim membangunkan Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula membina Kaabah setelah Allah S.W.T menunjukkan kepada mereka tempat yang harus dibina Baitullah itu.

Ada dua riwayat yang mengatakan bahwa Allah S.W.T meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, tapak Baitullah tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar melanda.

Satu riwayat lagi mengatakan bahwa tapak Baitullah itu telah runtuh dalam taufan besar sepertimana runtuhnya binaan-binaan besar yang lain. Setelah peristiwa taufan besar melanda maka sesungguhnya tidak ada orang lain yang mulakan pembinaannya semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan Baitullah. Nabi Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip batu-batu besar seperti yang difirman oleh Allah S.W.T yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, “Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui.” (surah al-Baqarah ayat 127).

Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail, menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah sehingga ia siap pembinaannya. Maka dengan kehendak Allah S.W.T sebaik saja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu, maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita melihatnya sehingga hari ini dekat Baitullah. Dan ini adalah suatu tanda kebesaran Allah S.W.T.

Apabila agama Islam datang, Allah S.W.T mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang maqam Ibrahim sepertimana firman Allah yang bermaksud, “Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu tempat sembahyang.” (surah al-Baqarah ayat 125).

Telaga Zamzam
Telaga Zamzam (atau Zamzam Well, atau Zamzam; B. Arab: زمزم) ialah telaga biasa yang terletak di dalam Masjidil Haram di Makkah, hampir dengan Kaabah, tempat paling suci dalam Islam.Telaga zam-zam merupakan satu-satunya sumber air bersih dari bawah tanah di Mekah satu ketika dahulu. Umat Islam sangat mengambil berat tentang air zamzam ini untuk air wuduk dan perubatan.

Mata air telaga Zamzam
Sejarah Umat Islam percaya telaga zam-zam dibina oleh Siti Hajar isteri kedua Nabi Ibrahim a.s dan ibu kepada anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail.Siti Hajar dan anak kecilnya Nabi Ismail kehausan di kawasan gurun kering kontang . Lantaran itu Siti Hajar berlari anak 7 kali antara Safa dan Marwa untuk mendapatkan air untuk anak kecilnya itu.

Allah menghantar malaikai Jibrail untuk mengeluarkan air suci dari tengah-tengah padang pasir itu. Lokasinya ialah tempat Nabi Ismail menghentak-hentak kaki dan menangis. Siti Hajar mengepong kawasan mata air itu dengan batu-batu dan memanggil zamzam yang bermaksud ‘kepung air’. Ketika itu Mekah belum ada penduduk.

Datuk Nabi Muhamad s.a.w bernama Abdul Muttalib telah menjaga, mengurus dan menjaga keselamatan satu-satunya sumber air di kota Mekah zaman pra Islam. Riwayat mengatakan sejarahnya adalah berhubung kait dengan sejarah Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim ) yang datang ke Makkah. Mengikut asal mula riwayat telaga ini adalah seperti berikut; Nabi Ibrahim a.s. mempunyai dua orang isteri; Siti Sarah (ibu Nabi Ishaq) dan Siti Hajar (ibu Nabi Ismail).

Pada satu ketika terjadi pertelingkahan antara kedua isteri tersebut sehingga Siti Sarah bersumpah tidak akan tinggal bersama-sama ibu Ismail dalam satu negeri. Kemudian turunlah wahyu kepada Nabi Ibrahim supaya baginda bersama-sama anak dan isterinya (Ismail dan Hajar) pergi ke Makkah. Di waktu itu Makkah belum didiami manusia, hanya merupakan lembah pasir dan bukit-bukit yang tandus dan tidak ada air.

Apabila mereka tiba di Makkah, mereka tinggal di bawah sepohon pokok yang kering. Di tempat inilah bangunan Kaabah yang ada sekarang. Tidak berapa lama, kemudian Nabi Ibrahim meninggalkan mereka dengan dibekalkan sekantong kurma dan sekibah air. Siti Hajar memerhatikan sikap suaminya yang menghairankan itu lalu bertanya ; “Hendak kemanakah engkau Ibrahim?”

“Sampai hatikah engkau meninggalkan kami berdua ditempat yang sunyi dan tandus ini?”. Pertanyaan itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab sepatah kata jua pun. Siti Hajar bertanya lagi; “Adakah ini memang perintah dari Allah?” Barulah Nabi Ibrahim menjawab, “ya”. Mendengar jawapan suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira dan hatinya tenteram. Ia percaya hidupnya tentu terjamin walaupun di tempat yang sunyi, tidak ada manusia dan tidak ada segala kemudahan. Sedangkan waktu itu, Nabi Ismail masih menyusu.

Selang beberapa hari, air yang dibekalkan Nabi Ibrahim habis. Siti Hajar berusaha mencari air di sekeliling sampai mendaki Bukit sofa dan Marwah berulang kali sehingga kali ketujuh (kali terakhir ) ketika sampai di Marwah, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar suara yang mengejutkan, lalu ia menuju ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya, bahawa suara itu ialah suara air memancar dari dalam tanah dengan derasnya. Air itu adalah air zam-zam.

Di sini Siti Hajar bertemu dengan Malaikat Jibril dan Jibril mengatakan kepadanya, ” Jangan khuatir, di sini Baitullah ( rumah Allah ) dan anak ini (Ismail ) serta ayahnya akan mendirikan rumah itu nanti. Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya”.

Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar. Keistimewaan dan keberkatan itu di sebut dalam sepotong hadith Nabi yang bermaksud:, ” Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit “. Riwayat – At Tabrani dan Ibnu Hibban.

Perkataan “zamzam” dipercayai berasal daripada ungkapan “zomk-zomk” bermakna “berhenti mengalir” – yang diluahkan oleh Siti Hajar dalam percubaannya menakung air yang berhamburan keluar.

Menurut hadis, Abu Tharr Al-Ghifari, sahabat Nabi Muhammad S.A.W, berkata semasa beliau mula-mula tiba di Mekah pada zaman permulaan Islam, beliau hidup dengan meminum air zamzam selama sebulan.

Maklumat fizikal

Telaga zamzam dalamnya 30 meter sahaja dan kedalaman air hanya 3.32 meter. Dapat bayangkan. Ada beberapa punca mata air di bawah 13 meter.

Ujian mengeluarkan air pada kelajuan 8000 liter/second selama tempoh 24 jam menunjukkan paras air surut dari para 3.23 meter kepada 12.72 meter dan kemudian 13.39 meter selepas itu. Paras air kembali normal ke paras 3.9 meter selepas 11 minit.

Semasa ibadah umrah dan haji, para jemaah telah meniru larian Siti Hajar dari Safa ke Marwa sebanyak 7 kali yang dikenali ebagai ibadah Sae’i. Air zamzam dapat mengubat penyakit mental. Jenazah yang meninggal dunia dimandikan dengan air zamzam.

Jabatan Geologi Arab Saudi telah membuat kajian tentang cara pengurusan air zamzam dan menambah jumlah air bagi menampung keperluan jemaah semasa menunaikan haji, membawa balik untuk saudara-mara dan pelbagai tujuan lain.

Kajian menunjukkan air zamzam mengandungi pelbagai mineral seperti kalsium, magnesium dan fluorida. sudah semestinya air Zamzam adalah terbaik didunia.

Monday, April 16, 2012

THE BEAUTIFUL JOURNEY TO BAITULLAH AL HARAM #Part 2


Salam Sayang Semua

Mari kita mulai perjalanan ke Baitullah Al Haram dengan mendekati dan mempelajari sejarah terbinanya KAABAH yang menjadi kiblat orang islam seluruh dunia. Menurut Al Quran, KAABAH adalah rumah ibadah pertama dibina untuk manusia menyembah Allah s.w.t.

Menurut Sejarah Islam, pembinaan KAABAH telah bermula dari zaman Nabi Adam (as) lagi. Selepas itu, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah membina semula KAABAH.
Lebar ukuran Kaabah diasaskan oleh Ibrahim adalah seperti berikut: " Dinding Timur adalah 48 kaki dan 6 inci " Dinding Hatim adalah 33 kaki " Dinding antara Hajar Aswad dan sudut Yamani adalah 30 kaki " Dinding Barat adalah 46.5 kaki Selepas ini berlaku beberapa pembinaan semula sebelum masa Rasulullah (SAW). Pembinaan semula Kaabah oleh kaum Quraish Rasulullah mengambil bahagian dalam salah satu daripada pembinaan semula ini sebelum baginda menjadi Rasul.Info ini Cik Sakura perolehi dari Wikipedia...

Selepas satu banjir kilat, Kaabah mengalami kerosakan dan dindingnya retak. Ia perlu dibina semula. Tugas ini dibahagikan antara empat puak Quraish. Rasulullah turut membantu dalam usaha pembinaan semula ini. Setelah dinding-dindingnya dibina semula, tiba masanya batu hajar aswad diletak semula di tempatnya di dinding Timur Kaabah.

Pertelingkahan berlaku apabila tiba masa untuk menentukan siapa mendapat penghormatan meletakkan batu Hajar Aswad itu. Apabila pertelingkahan hampir bertukar menjadi pergaduhan, Abu Umayyah, penduduk tertua Makkah, mencadangkan agar lelaki pertama yang memasuki pagar masjid pagi keesokkannya akan menentukan perkara berkenaan.

Lelaki itu ialah Rasulullah. Penduduk Makkah bergembira. "Ia adalah al-Amin. Ia adalah Muhammad," jerit mereka. Baginda menghampiri mereka lalu mereka memintanya supaya memutuskan perkara itu. Baginda bersetuju.

Rasulullah mencadangkan agar batu hitam itu diletak di atas sehelai kain, setiap bucu kain dipegang oleh seorang pemimpin puak. Kain itu diangkat ke tempat batu itu hendak diletak. Rasulullah kemudian mengambil batu itu dan meletakkannya di tempatnya di dinding Kaabah.a

Beginilah sedikit sebanyak sejarah yang dapat Cik Sakura kongsikan dengan kengkawan semua. Pada masa akan datang, insyaallah ada banayk lagi cerita yang ingin disampaikan. Sampai jumpa lagi eaaa..

babai semua..

dadaaaaa...


Saturday, April 14, 2012

THE BEAUTIFUL JOURNEY TO BAITULLAH AL HARAM #Part1

Salam Sayang Semua...

Malam Jumaat tanggal 17hb Februari 2012 jam 2.30pagi Cik sakura bagaikan dikejutkan dengan satu suara yang mengajak Cik Sakura berkunjung Ke Baitullah Al Haram. Hati tiba-tiba menjadi sayu pada satu pertiga malam hari itu. Air mata yang tadinya mengalir deras tiba-tiba berhenti dan hati mula menjadi tenang. Bisikan untuk mengunjungi Baitullah Al Haram menjadi semakin kuat dan seolah-olah bisikan itu tidak mampu untuk dihentikan. "Suara siapaka itu yang memanggil" hati Cik Sakura mula berbisik... Apakah aku sedang bermimpi? Ohhh tidak, aku sedang berada di bumi nyata, mungkin sudah tiba masanya untuk aku menjadi Tetamu Allah dan jemputan ini memang ditujukan kepadaku...

"Bangunlah Wahai Saudari, sucikanlah dirimu dengan air wuduk, dirikanlah solat nanti kamu ketemui jawapannya" tiba-tiba bisikan ini pula yang memenuhi ruang telinga. Apakah maknya semua ini, mimpikah daku tanya hati kecil Cik Sakura lagi...

Cik Sakura terus bingkas bangun dari tidur untuk menyucikan diri. Setelah selesai bebrapa solat sunat Cik Sakura menadah tangan bermohon agar diberi petunjuk dan hidayah. Syukur Alhamdulilah, Maha Suci Allah rupanya telah menjemput Cik Sakura untuk mengunjungi Baitullah Al Haram Tanah Suci Makkah Al Mukaromah kota kelahiran Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w. "Ya Allah, akhirnya Engkau makbulkan jugak doaku untuk mengunjungi KaabahMu" bisik hati kecil Cik Sakura...

Keesokkan paginya, niat suci untuk berkunjung ke Baitullah Al Haram telah Cik Sakura khabarkan kepada sahabat baik tempat Cik sakura mengadu nasib iaitu Maslinda Yahya. Sepanjang tempoh berduka lara kepada dialah Cik Sakura meluahkan segala-galanya. Seminggu di rumahnya menemukan Cik Sakura dengan apa yang selama ini Cik Sakura nanti-nantikan... Terima kasih sekali lagi kerana menjadi sahabat setiaku. Kepada sahabat-sahabat yang lain seperti najwa, shikin, zana, kakzah, reen, fadhilah, wan dan suryany terima kasih juga kerana menjadi teman penghibur di kala duka...

Seterusnya, urusan perjalanan ke sana mula diatur. Sesunggunhnya benar jika seseorang itu telah dijemput untuk menjadi tetamuNya, maka segala urusan dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Alhamdulilah tidak sampai tempoh seminggu segala urusan berkaitan dengan perjalanan ke sana selesai. Dengan izin Allah, pada tanggal 1hb April 2012 melalui penerbangan MH8005 Cik Sakura bertemankan bonda tercinta bertolak dari KLIA terus ke JEDDAH dan menuju ke Kota suci MAKKAH. Alhamdulilah, selama menjadi tetamuNya hati begitu tenang sekali. Saat pertama kali menatap KAABAH air mata Cik Sakura berlinangan, denyutan jantung menjadi semakin kuat dan perasaan hiba menyelubungi diri. Ia bukan satu sandiwara tetapi ia berlaku dengan begitu natural sekali. "Ya ALLAH, aku tak layak masuk syurgamu namun tak upaya menghadapi api nerakaMu, terima taubatku dan ampunkan dosa-dosaku sesungguhnya Engkau mengampunkan dosa hambaMu,..
(Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang yang menzalimi diri sendiri."

Sampai setakat ini dulu ya kengkawan kisah perjalanan Cik Sakura ke Kota Suci Makkah. InsyaAllah, jika dizinkan nanti, Cik Sakura akan kongsikan moment-moment indah semasa berada di sana.

tunggu tauuuu....

babaiii